Wednesday

09 - Taubat Nasuha Menghapuskan Semua Dosa

Taubat Nasuha Menghapuskan Semua Dosa

Menurut ulama tafsir, semua dosa akan diampunkan oleh Allah Subhanahu wa-Ta’ala lantaran taubat nasuha. Sama ada yang besar seperti kufur, syirik atau murtad dan tercangkup dosa-dosa yang lebih rendah dari itu juga akan terampun.

Adapun keraguan bahawa dosa-dosanya terlalu banyak untuk diampunkan oleh Allah sehingga berat untuk bertaubat, maka Seyikh Muhammad Soleh al-Munajjid berkata punca-puncanya ialah dikeranakan oleh:

1. Ketidak-yakinan seseorang terhadap luasnya rahmat Allah dan kasih sayangNya.
2. Lemahnya iman dan keyakinannya terhadap kuasa Allah yang mampu mengampuni keseluruhan dosa makhlukNya.

3. Kurang berharap, berdoa, mengingati dan tawadhu’ kepada Allah.

4. Tidak berkeyakinan bahawa taubat itu pasti menghapuskan semua jenis dosa disebabkan rahmat Allah.
[1]

Allah tidak pernah merasa rugi atau kekurangan jika mengampunkan segala dosa hambaNya yang meminta pengampunan. Pengampunan Allah Azza wa-Jalla sentiasa diberikan kepada hambaNya yang bertaubat kerana rahmatNya meliputi segala-galanya. Firman Allah Subhanahu wa-Ta’ala:

وَرَحْمَتِيْ وَسِعَتْ كُلَّ شَيْءٍ.
“Dan rahmatKu meliputi segala sesuatu”.[2]

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِيْنَ اَسْرَفُوْا عَلَى اَنْفُسِهِمْ لاَ تَقْنَطُوْا مِنْ رَّحْمَةِ اللهِ اِنَّ اللهَ يَغْفِرُ الذُنُوْبَ جَمِيْعًا.

“Katakanlah! Hai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan semua dosa”.[3]

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam telah bersabda:

اَلتَّائِبُ مِنَ الذَّنْبِ كَمَنْ لاَذَنْبَ لَهُ.

“Orang yang bertaubat dari dosanya bagaikan orang yang tidak mempunyai dosa sama sekali”.[4]




----------------------------------------------------------------------------


[1] . Lihat: اريد ان اتوب ولكن Muhammad Soleh al-Munajjid.
[2] . Al-A’raf, 156.
[3] . Az-Zumar, 53.
[4] . H/R Ibn Majah. Sahih al-Jami’. 2008.