Wednesday

05 - Hukum Taubat

Hukum Taubat

Sepakat para ulama Ahli Sunnah wal-Jamaah yang bermanhaj Salaf as-Soleh mengatakan bahawa: “Bertaubat dari segala dosa hukumnya wajib bagi setiap muslim lelaki dan perempuan, kerana manusia selain nabi dan rasul tidak sunyi dari dosa (tidak maksum)”. Rasulullah bersabda:

كُلُّ بَنِى آدَمَ خَطَّاؤُوْنَ وَخَيْرُ الْخَطَّائِيْنَ التَّوَّبُوْنَ

“Setiap Bani Adam mereka itu bersalah dan setiap yang melakukan kesalahan itu mereka yang bertaubat”.

Hadis di atas menyatakan bahawa semulia-mulia manusia adalah yang bertaubat apabila menyedari dirinya telah melakukan dosa atau bersalah. Allah Azza wa-Jalla pula telah memerintahkan setiap mukmin agar mereka segera bertaubat, janganlah ditangguh-tangguh atau dilewat-lewatkan. Adapun antara dalil-dalil dari al-Quran tentang wajibnya segera bertaubat ialah:

وَتُوْبُوْااِلَىاللهِ جَمِيْعًااَيُّهَاالْمُؤْمِنُوْنَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُوْنَ.

“Bertaubatlah kamu sekalian wahai kaum mukminin kepada Allah semoga kamu mendapat keuntungan”.[1]

Bertaubat adalah amalan para Nabi, para Rasul, para sahabat, tabi’in, tabi’ut at-tabiin (para salaf) dan orang-orang soleh. Perkara ini telah digambarkan di dalam ayat-ayat al-Quran:

فَتَلَقَّى آدَمَ مِنْ رَبِّهِ كَلِمَاتٍ فَتَابَ عَلَيْهِ اِنَّهُ هُوَ التَّوَّابُ الرَّحِيْمِ.

“Kemudian Adam menerima beberapa kalimah dari Tuhannya, maka Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang”.[2]

لَقَد تَّابَ اللهُ عَلَى النَّبِيِّ وَالْمُهَاجِرِيْنَ وَاْلاَنْصَارِ الَّذِيْنَ اتَّبَعُوْهُ فِى سَاعَةِ الْعُسْرَةِ مِنْ بَعْدِ مَا كَادَ يَزِيْغُ قُلُوْبُ فَرِيْقٍ مِّنْهُمْ ثُّمَّ تَابَ عَلَيْهِمْ اِنَّهُ بِهِمْ رَؤُفٌ رَّحِيْمٌ.
Sesungguhnya Allah telah menerima taubat Nabi, orang-orang Muhajirin dan orang-orang Ansar, yang mengikuti Nabi dalam masa kesulitan, setelah hati segolongan dari mereka hampir berpaling, kemudian Allah menerima taubat mereka itu. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kepada mereka”.[3]

اَنَّهُ مَنْ عَمِلَ مِنْكُمْ سُوْءً ا بِجَهَالَةٍ ثُمَّ تَابَ مِنْ بَعْدِهِ وَاَصْلَحَ فَاَنَّهُ عَفُوْرٌ رَّحِيْمٌ.

“(Iaitu) bahawasanya barangsiapa yang berbuat kejahatan antara kamu lantaran kejahilan, kemudian ia bertaubat setelah mengerjakannya dan mengadakan perbaikan, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.[4]

اِنَّمَاالتَّوْبَةُ عَلَىاللهِ لِلَّذِيْنَ يَعْمَلُوْنَ السُّوْءَ بِجَهَالَةٍ ثُمَّ يَتُوْبُوْنَ مِنْ قَرِيْبٍ فَاُوْلَئِكَ يَتُوْبُ اللهُ عَلَيْهِمْ وَكَانَ اللهُ عَلِيْمًا حَكِيْمًا . وَلَيْسَتِ التَّوْبَةُ لِلَّذِيْنَ يَعْمَلُوْنَ السَّيِّئَاتِ حَتَّى اِذَا حَضَرَ اَحَدَهُمُ الْمَوْتُ قَالَ اِنَّيْ تُبْتُ الآنَ وَلاَ الَّذِيْنَ يَمُوْتُوْنَ وُهُمْ كُفَّارٌ.

“Sesungguhnya taubat di sisi Allah hanyalah taubat bagi orang-orang yang mengerjakan kejahatan lantaran kejahilan, yang kemudian mereka bertaubat dengan segera, maka mereka itulah yang diterima Allah taubatnya dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Dan tidaklah taubat itu diterima Allah dari orang-orang yang mengerjakan kejahatan (yang) hingga apabila datang ajal kepada seseorang antara mereka (barulah) ia mengatakan: Sesungguhnya saya bertaubat sekarang. Dan tidak (pula diterima taubat) orang-orang yang mati sedang mereka di dalam kekafiran”.[5]

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam telah berdoa dengan doa meminta pengampunan dan taubat sebagaimana yang berikut ini:

رَبِّ اغْفِرْلِيْ وَتُبْ عَلَيَّ اِنَّكَ اَنْتَ التَّوَابُ الرَّحِيْمُ

“Ya Tuhanku! Ampunkanlah diriku dan terimalah taubatku. Sesungguhnya Engkau adalah Maha Penerima taubat dan Maha Pemberi rahmat”.[6]

--------------------------------------------------------------------------------


[1] . An-Nur. 31.
[2] . Al-Baqarah, 2:37.
[3] . At-Taubah, 9:117.
[4] . Al-An’am, 6:54.
[5] . An-Nisa, 4:17-18.
[6] . H/R Turmizi. Dan berkata Turmizi: Hadis hasan sahih.